Edar dadah: Nasib Ismahalil ditentukan 17 Julai - Utusan Malaysia

Edar dadah: Nasib Ismahalil ditentukan 17 Julai

NOOR Haslinda Abdul Manaf (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes suaminya, Ismahalil Hamzah atas pertuduhan mengedar dadah. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasib bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah sama ada disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah, akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Julai ini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Ismahalil memaklumkan pihak pembelaan menutup kesnya setelah mengemukakan keterangan lima saksi pembelaan.

Saksi-saksi itu terdiri daripada Ismahalil, isterinya dan tiga kenalan pada perbicaraan yang didengar bermula semalam.

Hakim Muhammad Jamil kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 14 Jun ini sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pembelaan pada 17 Julai ini.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Ismahalil, 50, didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semalam Ismahalil yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak di sini iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.

Pengasas ‘Bapakku FM’ itu menjelaskan, bilik tersebut turut digunakan oleh sekumpulan DJ dan krew stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk `on air’ selain turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Menurut tertuduh, bilik itu yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur kelamin bebas digunakan oleh para DJ untuk berehat, bersolat dan menyimpan barang peribadi seperti pakaian, beg galas dan komputer riba.

Sementara isteri tertuduh Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, yang merupakan saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan turut menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain.

Bagaimanapun, dalam pernyataan kepada polis, saksi itu berkata, bilik tersebut hanya digunakan oleh suaminya untuk berehat.

Jelas wanita itu, kali terakhir bilik itu dikemas ialah pada 1 Ogos 2021 dan dia tidak memasukinya selepas itu sehingga penangkapan suaminya pada 27 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya