Bekas Setiausaha Politik Idris Haron berdepan 12 pertuduhan

Bekas Setiausaha Politik Idris Haron berdepan 12 pertuduhan terima suapan

TERTUDUH yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 pada 2017. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka Ke-10, Datuk Seri Idris Haron didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dengan 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 pada 2017.

Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Rosli Hasan, 52, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh ketika itu yang merupakan pegawai badan awam iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka didakwa telah membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek bernilai RM5.28 juta.

Projek itu adalah bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Mukim Bachang.

Sebagai balasan, tertuduh telah menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya di Taman Pokok Mangga bernilai RM323,736 antara Mei 2017 hingga Februari 2018.

Bagi pertuduhan kedua sehingga ke 12 pula, tertuduh didakwa menerima suapan melalui bayaran kad kredit berjumlah RM85,000 antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017 di CIMB Bank Cawangan Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah.

Tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, berdasarkan Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samad mencadangkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di Pejabat SPRM sekali dalam sebulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 tidak bercagar, memandangkan tertuduh tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan pencen sebanyak RM2,018 sebulan serta menanggung dua isteri dan lapan anak.

Mahkamah kemudian membenarkan rayuan pembelaan dan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan serta menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya