Tiga lelaki didenda RM39,000 jual android box

Tiga lelaki didenda RM39,000 jual android box

KESEMUA tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menjual alat teknologi penstriman kotak android (android box) yang tidak diperakui. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga lelaki didenda RM39,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah menjual alat teknologi penstriman kotak android (android box) yang tidak diperakui, dua tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Hock Chuan, 21; Ong Tuck Keong, 30, dan How Jun Tian, 20, yang mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hock Chuan dan Jun Tian masing-masing didapati bersalah menjual tiga dan satu unit Top Box bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam Sub Seksyen 36A (3) Akta Hak Cipta 1987.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM4,000 dan tidak melebihi RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan dengan kesalahan telah dilakukan atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 41 (1) (ha) akta sama.

Sementara itu, Hock Chuan dan Jun Tian juga didapati menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu sebanyak 20 dan lapan unit android box.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16 (3) peraturan sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Tuck Keong pula didapati bersubahat dengan Hock Chuan dan Tuck Keong bagi kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hak Cipta 1987 dan Peraturan 16 (1) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16 (3) peraturan sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara pukul 1.10 petang hingga 1.30 petang di sebuah pasar raya di Peringgit dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Oktober 2021.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM13,500 terhadap Hock Chuan manakala Jun Tian dan Tuck Keong masing-masing didenda RM5,500 dan RM20,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN