Anggota JPJ didakwa terima suapan syarikat lori

Anggota JPJ didakwa terima suapan syarikat lori

TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada sebuah syarikat pengangkutan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,400 daripada sebuah syarikat pengangkutan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh merupakan Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Melaka didakwa menerima wang berjumlah RM700 tanpa balasan daripada seorang pengurus syarikat sebagai dorongan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori syarikat berkenaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Februari dan 3 Jun 2020.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu jaminan rendah dengan alasan telah membayar jaminan sebanyak RM12,000 terhadap lapan pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya bulan lalu, selain perlu menanggung isteri dan tiga anak yang masih kecil serta telah ditahan kerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya