Pesara tentera mengaku amang seksual kemaluan anak

Pesara tentera mengaku amang seksual kemaluan anak

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung lelakinya berusia enam tahun. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pesara tentera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung lelakinya berusia enam tahun.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan terhadap tertuduh selepas lelaki berusia 52 tahun itu membuat pengakuan bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan bapa kandung didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dengan cara menyentuh alat sulitnya bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 10.30 malam sehingga 3 pagi di sebuah rumah di Kampung Padang dalam daerah Melaka Tengah antara 5 dan 6 Februari 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, kejadian disedari bekas isterinya selepas kanak-kanak itu mengadu bahawa kemaluannya berasa sakit.

Kanak-kanak itu memaklumkan tertuduh telah melakukan sesuatu terhadap alat sulitnya sebelum wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada 11 Januari 2023.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Februari lalu dan dikenakan dua sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN