Perompak tegar dipenjara tujuh tahun, dua sebatan

Perompak tegar dipenjara tujuh tahun, dua sebatan

TERTUDUH dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan dua sebatan selepas didapati bersalah di tiga mahkamah berasingan di Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang perompak tegar dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan dua sebatan selepas didapati bersalah di tiga mahkamah berasingan di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd. Rosydi Abdul Manan, 36, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam, tertuduh didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata dengan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.01 pagi di Bukit Serindit dalam daerah Melaka Tengah pada 19 Disember 2022.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda dan sebat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didapati bersalah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail atas kesalahan melakukan rompakan terhadap seorang lelaki dengan mengambil sebuah telefon bimbit jenis Huawei P30 Pro.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7.15 pagi di tempat parkir Jalan Plaza Pandan Malim 13 dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Januari 2023 dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharaddin dan Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Dharmafikri dan Mohd. Sabri masing-masing menjatuhkan tujuh tahun penjara serta dua sebatan dan enam tahun penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 18 Januari 2023.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman, tertuduh mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan pecah rumah dan curi, curi dalam bangunan dan melupuskan harta curi serta memberikan dadah kepada diri sendiri.

Tertuduh didapati melupuskan harta curi iaitu sebentuk cincin emas milik seorang wanita berusia 29 tahun, kira-kira pukul 9.30 pagi di sebuah kedai pajak di Lorong Bukit Cina pada 20 Disember 2022.

Tertuduh turut didapati mencuri telefon bimbit milik seorang lelaki di Taman Melaka Raya dan pembesar suara milik sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Bukit Katil Damai pada 12 Disember 2022 dan 11 Januari 2023.

Tertuduh juga didakwa melakukan pecah kedai di Taman Dayang Indah pada 10 Januari 2023 dan mengambil tiga laci deposit tunai serta didakwa menggunakan dadah pada 27 Mei 2015 dan 5 November 2016.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan enam bulan bagi kesalahan dadah dan dua tahun pengawasan bermula dari tarikh ditangkap pada 18 Januari 2023.

Bagi kesalahan melupus harta curi, pecah rumah dan mencuri, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan, 24 bulan dan 12 bulan. Kesemua enam hukuman penjara berjalan serentak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya