MELAKA: Seorang Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menjual minuman keras tanpa lesen, tahun lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap M. Thiruselvan, 40, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang mengusahakan kafe hiburan didapati bersalah melanggar syarat lesen perniagaan dengan menjual minuman keras tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.15 pagi di sebuah premis bernombor di Taman Padang Balang, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 15 September 2022.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran kerana tertuduh adalah pemegang lesen utama, selain melakukan kesalahan berulang di bawah akta sama kerana sebelum ini pernah didenda RM2,000 kerana beroperasi melebihi masa dibenarkan.
Tertuduh yang diwakili peguam Datuk K. Shashi merayu dikenakan denda ringan dengan alasan telah insaf dan tidak mengetahui menjual minuman keras memerlukan lesen khas.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN