fbpx

Rekod rayuan belum siap, pengurusan kes Bung Moktar dan Zizie 22 Mac

Bung Moktar Radin dan Zizie Izette A. Samad

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan mereka.

Perkembangan itu berikutan Mahkamah Rayuan belum menerima rekod rayuan termasuk penghakiman bertulis dan nota keterangan daripada Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How berkata, mahkamah kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 22 Mac ini.

Beliau memaklumkan demikian kepada wakil media selepas sesi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd. Khairi Haron hari ini.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh TPR Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala peguam-peguam M. Athimulan dan Tey See Khoon mewakili perayu-perayu.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes tersebut menetapkan Jumaat ini (27 Januari) bagi sebutan kes di hadapan Hakim Rozina Ayob bagi memaklumkan perkembangan rayuan.

Pada 3 Januari lalu, pasangan suami isteri itu yang sepatutnya mula membela diri terhadap pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad, dibenar oleh Mahkamah Tinggi untuk menggantung perbicaraan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman (kini Hakim) Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan kedua-duanya sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Bung Moktar dan isteri merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan.

Pada 9 Disember 2022, Hakim Azhar memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN