Pemilik syarikat minuman teh buat tuntutan palsu RM41,000

Pemilik syarikat minuman teh buat tuntutan palsu RM41,000

KESEMUA tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemilik syarikat minuman teh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0.

Tertuduh, Siti Nor Sofwah Ahmad, 26, antara tiga individu yang didakwa membabitkan jumlah keseluruhan tuntutan palsu bernilai RM136,100.

Dua lagi tertuduh ialah Siti Marzila Daud, 46, dan Nick Farhan Zakiran Mahadi, 30, yang dihadapkan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Marzila didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan Ainnas Sweet Home Bakery bagi menuntut insentif berjumlah RM50,000.

Tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan dokumen pengesahan itu yang mengandungi pernyataan palsu maklumat pekerja baharu sedangkan senarai tujuh pekerja yang dinamakan bukan pekerja syarikat berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di Wisma Perkeso, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 8 Mac 2021.

Dalam pada itu, Siti Nur Sofwah yang juga pemilik syarikat Nor Sofwah Tea dan Nick Farhan sebagai pemilik syarikat NFZ Engineering turut berdepan satu pertuduhan sama membabitkan nilai tuntutan palsu RM41,000 dan RM45,100.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi sama pada 23 Mac dan 16 April 2021.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mahkamah membenarkan Siti Marzila diikat jamin RM15,000, manakala Siti Nur Sofwah dan Nick Farhan masing-masing sebanyak RM12,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya