Azeez Rahim lepas tanpa bebas 3 tuduhan rasuah, 6 tuduhan

Azeez Rahim lepas tanpa bebas 3 tuduhan rasuah, 6 tuduhan pengubahan wang haram

ABDUL Azeez Abdul Rahim hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes rasuah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah berpuas hati wujud alasan kukuh pada tahap ini untuk mengeluarkan perintah DNAA bagi membolehkan siasatan disempurnakan berkaitan bukti baharu yang terkandung dalam representasi pihak pembelaan,” ujar beliau.

Azura berpendapat, setiap kes perlu dibezakan berdasarkan fakta manakala isu utama yang perlu diberi perhatian adalah kuasa budi bicara mahkamah bagi menentukan sama ada tertuduh wajar diberi perintah DNAA atau dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan.

“Dalam menjalankan kuasa tersebut, mahkamah perlu mengimbangi kepentingan awam dan hak tertuduh sendiri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembangan Persekutuan,” ujar hakim berkenaan.

Azura berpuas hati, alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan memuaskan dan tertuduh wajar dilepas tanpa dibebaskan bagi membolehkan SPRM menyempurnakan siasatan berdasarkan bukti baharu yang diperolehi.

“Perbicaraan kes ini telah bermula dengan mendengar keterangan saksi-saksi dan tidak boleh disimpulkan bahawa pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan kes,” ujar Azura.

Terdahulu, Aslinda memohon Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan atas alasan representasi yang dikemukakan oleh tertuduh telah dipertimbang oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

Aslinda berkata, Abdul Azeez melalui peguamnya telah mengemukakan beberapa representasi kepada pihak pendakwaan yang memohon supaya kes terhadap beliau ditarik balik manakala kesemua pertuduhan dibatalkan.

Aslinda menjelaskan, representasi itu mengandungi enam akuan bersumpah yang dibuat oleh saksi-saksi pendakwaan.

Ekoran itu, ujarnya siasatan menyeluruh dan teliti harus dilakukan oleh pegawai penyiasat SPRM berikutan kewujudan bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.

“Berikutan itu pihak pendakwaan memohon agar satu perintah pelepasan yang tidak terjumlah kepada pembebasan terhadap Abdul Azeez mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

Ujar peguam bela, pihaknya telah mengemukakan beberapa akuan berkanun individu yang boleh membantu siasatan serta pembelaan tertuduh.

“Fakta ini tidak dinafikan dan berdasarkan akuan berkanun tersebut kami percaya bahawa pembelaan Abdul Azeez ada merit,” ujar Amer Hamzah.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah perkembangan representasi berkenaan.

Pada 7 September lalu, Mahkamah Sesyen diberitahu, Abdul Azeez mengemukakan representasi kelima kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membatalkan baki sembilan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.

Amer Hamzah ketika itu memaklumkan, representasi terbaharu dihantar pada 5 September lalu ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada hari sama yang membatalkan empat daripada 10 pertuduhan pengubahan haram yang dikenakan terhadap anak guamnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan sebahagian rayuan Abdul Azeez dan menggugurkan empat pertuduhan pengubahan wang haram iaitu pertuduhan ketiga, ketujuh, kelapan dan kesembilan.

Panel itu bagaimanapun mengekalkan sembilan pertuduhan iaitu tiga rasuah dan enam pengubahan wang haram.

Abdul Azeez pada asalnya didakwa pada 16 Januari 2019 atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 tuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Bagi ketiga-tiga pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa menerima suapan daripada syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. iaitu RM1.2 juta bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM2 juta bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Suapan itu didakwa diterima melalui akaun miliknya sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek jalan raya daripada Kerajaan Malaysia yang nilainya mencecah RM1.47 bilion.

Kesalahan pertama didakwa dilakukan di CIMB Bank Jalan Tun Perak pada 8 Disember 2010, kesalahan kedua di Affin Bank Bhd. di Pusat Bandar Puchong pada 13 Jun 2017 manakala kesalahan ketiga pada 10 April 2018 juga di Puchong, Selangor.

Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Abdul Azeez turut dibicarakan terhadap baki enam pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi lima pertuduhan, Abdul Azeez didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM530,000 daripada syarikat yang sama di antara 6 September 2010 dan 31 Disember 2015 di dua bank berbeza iaitu di Jalan Raja Chulan dan Jalan Maarof, Bangsar.

Satu lagi pertuduhan, Abdul Azeez didakwa memiliki kenderaan Toyota Vellfire bernilai RM442,414.60 yang diperolehi daripada syarikat Menuju Asas di No. 66A Jalan Kampung Attap di sini pada 7 Mac 2012.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya