Saksi bayar RM19 juta supaya siasatan Guan Eng ditutup - Utusan Malaysia

Saksi bayar RM19 juta supaya siasatan Guan Eng ditutup

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau sanggup membayar RM19 juta kepada seorang `kaki tipu’ agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan kes rasuah berkaitan projek terowong terhadap Lim Guan Eng.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, berkata, wang itu diberikan kepada seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja kononnya untuk merasuah Datuk Seri Najib Tun Razak agar siasatan tidak diteruskan.

Beliau yang juga saksi utama pendakwaan memberitahu, wang sebanyak itu diserahkan dalam usaha melindungi Guan Eng yang ketika itu disiasat SPRM kerana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu banyak berjasa kepadanya.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, beliau sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap membayar sejumlah wang yang disangkanya untuk Najib selaku Perdana Menteri agar siasatan terhadap Guan Eng ditutup.

Pada pemeriksaan balas yang dikendalikan oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, Zarul Ahmad turut dicadangkan bahawa tindakannya itu bukan untuk melindungi Guan Eng, sebaliknya untuk melindungi dirinya.

Bagaimanapun, Zarul Ahmad yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) menafikan cadangan tersebut.

Terdahulu, Gobind merujuk kenyataan Zarul Ahmad pada sidang media pada 2 Julai 2018 berhubung pendedahan beliau menerima ancaman daripada orang tengah dan `kaki tipu’ yang mahukan wang perlindungan selepas mendakwa mereka mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Dalam keterangannya semalam, Zarul Ahmad mengaku beliau menipu pada sidang media itu dengan mengatakan tiada elemen rasuah berhubung projek terowong di Pulau Pinang selepas disuruh oleh Guan Eng agar tidak mengaitkan beliau dalam kes rasuah.

Menjawab soalan balas Gobind, Zarul Ahmad berkata, ketika itu beliau tidak mengetahui Gnanaraja seorang `kaki tipu’ sebaliknya diperkenalkan oleh seorang rakan yang dipercayainya.

Ujar saksi pendakwaan ke-23, beliau hanya mengetahui Gnanaraja rapat dengan Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

Menurut Zarul Ahmad, dalam perbualan telefon melalui aplikasi WhatsApp dengan Gnanaraja, ahli perniagaan itu pada satu ketika pernah meminta wang rasuah tersebut ditambah kerana ia bukan untuk sebarangan orang, sebaliknya untuk Najib.

Saksi turut mengaku beliau kemudian berunding dengan Gnanaraja agar wang itu dikurangkan.

Pada peringkat itu, Gobind membuat permohonan lisan agar butiran perbualan melalui WhatsApp melibatkan kedua-duanya dalam tempoh di antara Julai 2017 dan Januari 2018, dikemukakan kepada mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Isnin ini.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.