Penganggur tinggalkan mayat anak kekasih didakwa empat pertuduhan - Utusan Malaysia

Penganggur tinggalkan mayat anak kekasih didakwa empat pertuduhan

KHAIRUL Azuan Dollah (dua dari kiri) dibawa Mahkamah Majistret Tampin hari ini bagi didakwa atas empat pertuduhan dihadapinya termasuk melibatkan kesalahan narkotik.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang penganggur yang nekad meninggalkan mayat anak kekasihnya dalam satu kejadian kemalangan, didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Tampin, di sini, hari ini.

Tertuduh, Khairul Azuan Dollah, 29, membuat pengakuan bersalah bagi tiga pertuduhan iaitu mencuri kenderaan dan dua kes dikehendaki membabitkan kesalahan narkotik sebaik dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 27 Jun lalu, kira-kira pukul 4.35 pagi di Jalan Sungai Dua-Jelai, dia telah didapati dalam memiliki dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 2.50 gram.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Majistret menetapkan tarikh 4 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Bagi pertuduhan kedua, pada 26 Jun lalu, kira-kira  pukul 11.45 malam, di Jalan Lingkaran Tengah Jelai dari Jalan Besar Tampin Gemas, tertuduh mencuri sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu yang memperuntukkan penjara tidak kurang tujuh tahun dan denda.

Tertuduh mengaku bersalah dan Majistret menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan denda sebanyak RM2,000.

Bagi dua lagi pertuduhan membabitkan kes dikehendaki berkaitan memasukkan dadah ke dalam badan iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) ASB 1952, tertuduh membuat pengakuan bersalah.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman 10 dan 15 bulan penjara dari tarikh sabitan kes serta dua tahun pengawasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, media melaporkan pasangan kekasih nekad melarikan diri serta meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, pada malam Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, pasangan berkenaan melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik orang awam yang berhenti di lokasi kemalangan bagi membantu mereka. –UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya