Op pematuhan PPKHT 2004, 51 notis hadir mahkamah dikeluarkan - Utusan Malaysia

Op pematuhan PPKHT 2004, 51 notis hadir mahkamah dikeluarkan

PEGAWAI penguatkuasaan daripada JKNNS mengeluarkan notis perintah hadir ke mahkamah kepada orang ramai yang didapati melakukan kesalahan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan bagi Pematuhan PPKHT 2004 yang dijalankan di beberapa premis di sekitar Seremban, malam semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 51 notis perintah hadir ke mahkamah dikeluarkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) dalam operasi penguatkuasaan bagi pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) di sekitar bandar ini malam semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kesemua notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) itu dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun bernilai RM17,000 dan ia hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 61 premis.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 notis dikeluarkan terhadap kesalahan merokok di premis makanan, sembilan notis atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa rokok dibawah harga minimum dan enam notis dikeluarkan atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan.

“Sebanyak tiga lagi notis dikeluarkan terhadap kesalahan menjual rokok dalam peket yang telah dibuka atau kurang daripada 20 batang serta satu notis atas kesalahan pemilik premis gagal memastikan bahawa tiada seorang pun merokok di dalam premis atau bangunan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan PPKHT 2004 di sini semalam.

Operasi berkenaan melibatkan seramai 60 orang pegawai daripada JKNNS dan Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan (KPDNHEP).

Dr. Harlina berkata, dalam operasi berkenaan juga, sebanyak 1,834 peket rokok dan 30 rokok batang pelbagai jenama bernilai RM 11,052.50 telah dirampas atas pelanggaran pelbagai kesalahan dibawah PPKHT 2004. 

Sementara itu, beliau berkata, setakat setengah tahun pertama ini, sebanyak 311 operasi bersepadu penguatkuasaan PPKHT 2004 telah dilaksanakan di seluruh negeri ini dengan melibatkan pemeriksaan terhadap 3,981 premis. 

“Hasil keseluruhan operasi tersebut, sebanyak 1,140 notis perintah hadir ke mahkamah yang boleh dikompaun bernilai RM293,100 telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

“Pada tahun lalu, sebanyak 457 notis yang sama telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan kompaun RM137,950 membabitkan 346 operasi daripada 7,957 premis yang diperiksa di setiap daerah” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya