Peguam pertikai tindakan SPRM ekstrak mesej peribadi Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Peguam pertikai tindakan SPRM ekstrak mesej peribadi Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengekstrak mesej peribadi dalam kumpulan WhatsApp melibatkan Ahli Parlimen Muar itu atas alasan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkannya.

Mesej itu diekstrak daripada rakaman perbualan dalam telefon bimbit milik Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali selepas dianalisis oleh Bahagian Forensik Teknologi, SPRM.

Ketua Cawangan Forensik Dokumen, Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof, 34, berkata, beliau menggunakan perisian XRY untuk mengekstrak kandungan perbualan WhatsApp daripada dua kumpulan pada 30 dan 31 Mac 2020 serta 1 dan 2 April 2020.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq bagaimanapun, mempersoal tindakan saksi pendakwaan keempat itu dan meminta kepastian peruntukan undang-undang yang membenarkan SPRM melihat mesej peribadi individu.

“Apa peruntukan yang membenarkan kamu menyiasat telefon bimbit dan mesej peribadi seseorang? Kamu tidak boleh memintas mesej individu begitu sahaja,” ujar peguam itu.

Wan Mohd. Firdaus menyatakan beliau tidak pasti peruntukan undang-undang yang dimaksudkan sebaliknya menjelaskan, mesej yang terkandung dalam telefon peribadi Rafiq tidak dipintas tetapi diekstrak daripada perbualan dalam kumpulan WhatsApp berkenaan.

Ketika ditanya maksud pintasan mesej, pegawai SPRM itu menjelaskan, pintasan adalah tindakan menghalang komunikasi sebelum diterima oleh seseorang.

Saksi turut menegaskan, pihak SPRM berkuasa menjalankan siasatan terhadap aduan yang didakwa wujud perlakuan rasuah.

Namun Gobind mempersoal penjelasannya kerana SPRM mempunyai kuasa menjalankan siasatan namun tiada bidang kuasa untuk mengakses mesej peribadi seseorang.

Menjawab soalan Gobind, Wan Mohd. Firdaus turut bersetuju bahawa kes kehilangan wang RM250,000 daripada peti besi milik Syed Saddiq tiada kena mengena dengan pertuduhan pecah amanah RM1 juta yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju bahawa SPRM mengekstrak mesej perbualan daripada kumpulan WhatsApp untuk digunakan dalam kes yang berlainan dan tiada kaitan dengan kes kehilangan wang daripada peti besi.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 4 Julai ini.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. (pertuduhan pindaan kedua)

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya