Peguam dituduh pecah amanah

Peguam dituduh pecah amanah

MOHD. Zawahid Ya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah terhadap penguasaan harta bernilai RM1.52 juta di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah harta bernilai RM1.52 juta pada 2017.

Tertuduh, Mohd. Zawahid Ya, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Helina Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada lima anak itu dituduh sebagai seorang peguam melakukan pecah amanah jenayah terhadap penguasaan harta yang diamanahkan kepadanya antara 9 Mei hingga 11 Ogos 2017, di pejabat firma guamannya sendiri di Subang Bestari, di sini.

Dia dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen sama iaitu penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.

Bagaimanapun, selepas pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd. Munir memaklumkan kepada mahkamah pecah amanah dilakukan Mohd. Zawahid adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Namun, beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk menentukan tawaran jaminan dan mencadangkan supaya orang kena tuduh (OKT) diikat jamin dengan bayaran sebanyak RM200,000 menerusi seorang penjamin serta mematuhi syarat-syarat tambahan.

“Kesalahan tertuduh adalah non-bailable offence namun atas budi bicara mahkamah, pendakwaan mencadangkan jaminan tersebut dan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport dan lapor diri di balai polis berdekatan,” katanya.

Peguam mewakili Mohd. Zawahid, Fahmi Abd. Moin kemudian memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara, namun memaklumkan tawaran jaminan sehingga RM200,000 itu terlalu tinggi dan bersifat hukuman.

“Jumlah yang ditawarkan adalah terlalu tinggi kerana tertuduh belum lagi dibuktikan bersalah. Puan, anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih menuntut di universiti awam dan dua lagi bersekolah rendah.

“Tertuduh juga merupakan seorang peguam sejak 2021 dan ini adalah kali pertama dihadapkan ke mahkamah. Siasatan bermula sejak 2019 dan selepas dua tahun baru dituduh di mahkamah. Sepanjang siasatan, Mohd. Zawahid sentiasa memberi kerjasama kepada polis dan tidak melarikan diri termasuklah hadir pertuduhan hari ini,” ujarnya.

Tambahnya, pendapatan tertuduh juga terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan khuatir terus terjejas selepas dituduh di mahkamah.

Justeru, Fahmi yang mengetuai pasukan pembelaan terdiri daripada Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ilyani Khuzairi memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 sebagai jaminan dan tertuduh bersedia mematuhi syarat tambahan.

Hakim Helina selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak menetapkan Mohd. Zawahid dibenarkan diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah juga menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula sebelum menangguhkan prosiding. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya