Guan Eng ditegur buat kenyataan media luar mahkamah - Utusan Malaysia

Guan Eng ditegur buat kenyataan media luar mahkamah

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hadir hadir bagi perbicaraan empat pertuduhan rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini. -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng dan pasukan pembelaan yang mewakilinya dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang, ditegur oleh Mahkamah Sesyen di sini berhubung ulasan yang dibuat ketika prosiding sedang berlangsung.

Ketika meluahkan kekecewaannya berhubung komen yang dibuat di luar mahkamah, Hakim Azura Alwi menyatakan teguran telah dikeluarkan ketika perbicaraan mula-mula didengar dahulu.

Azura menyifatkan, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku lagi kerana pihak-pihak yang berkenaan sedia maklum bahawa sebarang ulasan di luar mahkamah ketika kes sedang berlangsung bersifat `sub judice’.

“Saya kecewa perkara ini berlaku kerana semua pihak telah matang dan bukan pertama kali hadapi perbicaraan, ini bukan sesuatu yang asing pada kamu semua.

“Saya boleh beri teguran tapi setakat mana akan memberi kesan kepada semua pihak terutama tertuduh sendiri,” ujarnya ketika memberi maklum balas terhadap isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

Sehubungan itu, Azura mengingatkan semua pihak supaya menghormati mahkamah dan tidak mengambil mudah teguran yang dikeluarkan kerana kes itu mendapat liputan meluas.

Sebelum prosiding bermula hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membangkitkan isu bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat laporan polis terhadap Guan Eng berhubung kenyataan media berkaitan kenyataan itu.

Wan Shaharuddin menjelaskan, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kenyataan kepada pihak media Jumaat lalu menegaskan beliau tidak bersalah dan tiada `jejak wang’ dibuktikan berkaitan pertuduhan terhadapnya.

Ujar Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan mahukan mahkamah mengeluarkan teguran terhadap Guan Eng bagi mengelakkan perkara itu berulang.

Memetik laporan Free Malaysia Today(FMT) Jumaat lalu, dua laporan polis berasingan telah dibuat terhadap Guan Eng dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan komen yang dibuat mengenai kes mahkamah yang masih di peringkat perbicaraan.

Kedua-dua laporan dibuat di Balai Polis Putrajaya dan pengadu mahukan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil tindakan menghina mahkamah.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memberitahu, pihaknya maklum isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan dan mengakui kenyataan yang dibuat oleh tertuduh kepada pihak media.

Sambil memohon maaf, Gobind berkata, pihaknya memahami pendirian pihak pendakwaan dan perkara itu tidak seharusnya berlaku.

Mahkamah kemudian menyambung prosiding dengan mendengar keterangan Azli Adam iaitu bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkfili dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya