Pendakwaan tutup kes terlibat aktiviti wang haram, lari cukai Muhammad Shafee - Utusan Malaysia

Pendakwaan tutup kes terlibat aktiviti wang haram, lari cukai Muhammad Shafee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini telah menutup kes peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas empat pertuduhan membabitkan penerimaan wang RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas selesai memanggil saksi kelapan yang juga saksi terakhir mereka iaitu pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mohamad Farid Jabar.

“Pihak pendakwaan menutup kes pada hari ini setelah memanggil lapan saksi. Pendakwaan tidak menawarkan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 September ini untuk mendengar hujahan lisan daripada pendakwaan dan barisan pembelaan yang diketuai peguam bela, Harvinderjit Singh.

Kes itu mula dibicarakan pada 21 Mei 2021 selepas ia dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014 di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a)  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum satu tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya