Ibu tunggal berdepan 33 pertuduhan palsukan dokumen

Ibu tunggal berdepan 33 pertuduhan palsukan dokumen

AZLINDA Abd. Aziz (kanan) berdepan 33 pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang juga bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 33 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender kepada empat syarikat pembinaan miliknya, lima tahun lalu.

Tertuduh, Azlinda Abd. Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Bagi 30 pertuduhan, dia didakwa memalsukan dokumen Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat dan Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera Kementerian Kewangan atas nama tiga syarikat dengan niat dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Baki tiga pertuduhan lagi pula, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Perakuan Pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya, walhal ketiga-tiga sijil itu tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh CIDB serta Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Azlinda yang juga ibu tunggal itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara November 2017 hingga Oktober 2019 di Unit Perolehan Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan juga denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam Matthews Jud dan Omar Kutty Maiadr.

Mahkamah menetapkan tertuduh diberi jaminan RM23,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Ahmad Kamal Ariffin turut menetapkan tarikh 30 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN