Rayuan Peter pindah kes ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dibatal - Utusan Malaysia

Rayuan Peter pindah kes ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dibatal

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony gagal memindahkan kes pemalsuan dokumen yang kini dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.

Ketetapan tersebut dicapai selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara membatalkan rayuannya ketika kes itu disebut kali pertama, hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Ashraf Zubir memaklumkan, perayu (Peter) tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang pengurusan kes manakala petisyen rayuan belum difailkan sejak tahun lalu.

Beliau memberitahu, peguamnya mahupun Peter juga tidak hadir ketika kes disebut hari ini dan pihaknya memohon satu tarikh akhir bagi membolehkan perayu hadir ke mahkamah.

Peter merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mac 2021 yang menolak permohonannya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Peter, 51, sedang dibicarakan atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Tertuduh selaku Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati dituduh memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di UMS.

Peter didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kini di peringkat kes pembelaan dengan mengemukakan keterangan tiga saksi termasuk Peter yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).

Hakim Azura Alwi menetapkan 31 Mac ini untuk mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum memutuskan sama ada Peter disabitkan atau dilepaskan daripada pertuduhan tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN