CFO 1MDB nafi terima rasuah dari Leissner - Utusan Malaysia

CFO 1MDB nafi terima rasuah dari Leissner

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Azmi Tahir menafikan menerima rasuah daripada bekas pengarah firma pelaburan Amerika Syarikat (AS) Goldman Sachs, Tim Leissner.

Ketika ditanya mengenai laporan media yang memetik kenyataan Leissner bahawa dia telah merasuah beberapa pegawai 1MDB, Azmi menyatakan beliau mengetahuinya berdasarkan laporan media, namun, menafikan dirinya merupakan salah seorang daripada pegawai yang dirasuah itu.

“Saya tidak bersetuju. Saya tidak tahu mengenai yang lain (pegawai 1MDB), tetapi, bagi diri saya, tidak,” katanya ketika disoal balas oleh peguam Najib, Tania Scivetti.

Azmi berkata demikian ketika memberikan sesi soal balas dalam perbicaraan kes Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sekitar November 2018, Leissner, 52, dituduh mengubah wang haram bagi tujuan melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) melalui pemberian rasuah terhadap pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi.

Beliau juga didakwa menipu institusi kewangan terkemuka dunia itu. Susulan pengakuan bersalah itu, Leissner akan mengembalikan wang sebanyak RM180 juta (USD 43.7 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Selain itu, saksi pendakwaan ke-12 itu juga menafikan `sengaja’ tidak membuat tawaran faedah pinjaman lebih rendah bagi anak syarikat 1MDB, 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL) membolehkan Goldman Sachs mendapat keuntungan lebih bagi bon yang diterbitkan sekitar Oktober 2012.

Bon yang dimaksudkan oleh Scivetti ialah penerbitan bon berjumlah AS$1.75 bilion selama 10 tahun dengan kadar faedah tahunan 5.75 peratus dan pembiayaan berasingan berjumlah RM700 juta daripada Affin Investment Bank and AmInvestment Bank bagi pembelian aset tenaga, Mastika Lagenda Sdn Bhd.

Peguam terbabit dalam soalannya menyatakan kegagalan Azmi untuk merundingkan bagi kadar faedah yang lebih rendah bagi pembiayaan oleh 1MELL membolehkan Goldman Sachs mendapat keuntungan besar daripada kadar faedah yang tinggi.

Sementara itu, sama seperti saksi-saksi pendakwaan yang terdiri daripada bekas kakitangan 1MDB, Azmi menafikan bahawa beliau tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang kerana memberikan keterangan terhadap Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Mac ini. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya