SRC International: Rayuan Najib diputuskan 8 Disember - Utusan Malaysia

SRC International: Rayuan Najib diputuskan 8 Disember

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung hukuman penjara penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. akan diputuskan pada 8 Disember ini di Mahkamah Rayuan di sini.

Tarikh tersebut dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah, Istana Kehakiman di sini melalui satu kenyataan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan yang akan dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Hakim Abdul Karim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera akan didengar kira-kira pukul 9 pagi.

Pada 8 Disember tersebut, panel terbabit akan membuat keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Julai 2020 atau membebaskan Najib daripada sabitan salah yang telah dibuat sekaligus membatalkan hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun, apa juga keputusan Mahkamah Rayuan pada tarikh tersebut, pihak-pihak yang terlibat; Najib dan pendakwaan, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Najib memfailkan notis rayuan tersebut pada 30 Julai 2020 seelpas tidak berpuas hati denga keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Moh. Ghazali dan rayuan tersebut telah didengar selama 15 hari bermula 5 April lalu.

Ketika memfailkan petisyen rayuannya, Najib mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak patut didapati bersalah dalam kes itu.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd. Nazlan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Hukuman tersebut bagaimanapun dibenarkan untuk digantung sementara menunggu rayuan Najib diputuskan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya