Rayuan SRC: Tiada penangguhan dibenarkan - Utusan Malaysia

Rayuan SRC: Tiada penangguhan dibenarkan

najib
NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini tidak membenarkan permohonan peguam bela Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuan bekas Perdana Menteri berhubung sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadapnya membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. yang dijadualkan dibuat pada 8 Disember ini ke tarikh lain.

Menurut surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini yang dilihat oleh media hari ini, Mahkamah sebaliknya meminta kesemua pihak untuk memastikan kehadiran masing-masing.

Surat tersebut ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd. Khairi Haron.

Semalam, selepas Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan terhadap rayuan Najib berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan, firma guaman yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu, Tetuan Shafee & Co. memberitahu akan memohon penangguhan atas alasan anak guam mereka itu masih menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari Singapura.

Tempoh kuarantin tersebut dikatakan akan berakhir pada 12 Disember ini dan Najib hanya boleh hadir ke mahkamah atau tempat awam pada keesokan harinya.

Panel yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera telah mendengar rayuan Najib selama 15 hari antara 5 April dan 15 Mei lalu.

Pada 8 Disember tersebut, panel terbabit akan membuat keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020 atau membebaskan Najib daripada sabitan salah yang telah dibuat sekaligus membatalkan hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman tersebut selepas mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1MDB. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya