Pakej ubah suai rumah: Dua didakwa tipu jurutera - Utusan Malaysia

Pakej ubah suai rumah: Dua didakwa tipu jurutera

TIGA warga asing yang terlibat dalam kes sindiket ubah suai rumah dibawa oleh anggota polis ketika didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.-UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang jurutera berhubung tawaran pakej ubah suai rumah berserta perabot bagi `memancing’ penyewa rumah.

Osman Goni, 37, yang merupakan warganegara Bangladesh dan Yong Yen You, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nadia Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu jurutera, Chan Kee Yew, 37, dengan memperdayakan mangsa berhubung tawaran pakej ubah suai rumah berserta perabot untuk mendapatkan penyewa rumah berjumlah RM14,200, walhal tawaran itu tidak benar.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tersebut yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik Yen You yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Perhentian, Sentul di sini antara 27 Mei dan 12 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap Yen You manakala Osman tidak ditawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan warga asing.

Bagaimanapun peguam Wayne Lim yang mewakili Yen You memohon ikat jamin dikurangkan manakala Osman tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Yen You diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh Osman tidak dibenarkan ikat jamin.

Tarikh 4 Januari tahun depan ditetapkan untuk sebutan kes.

Media pada Rabu lalu melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan ubah suai rumah melibatkan lelaki warga asing di sebuah apartmen di sekitar Pantai Dalam pada 5 November lalu.

Difahamkan, sindiket berkenaan telah berjaya menipu lebih 40 pemilik apartmen dengan kerugian sebanyak RM84,550.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek akan menawarkan pakej ubah suai dalaman rumah serendah RM14,000 serta pembelian perabot, barangan elektrik dan perkhidmatan mendapatkan penyewa untuk rumah mangsa.

Menurut polis, suspek yang menyamar sebagai ejen pengurusan hartanah akan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan menawarkan pakej pengubahsuaian apartmen itu. Mangsa yang berminat akan membuat bayaran kepada suspek.

Sindiket yang aktif sejak awal tahun ini menggunakan modus operandi itu bagi mengaburi mangsa seolah-olah barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan suspek itu telah disediakan seperti dalam pakej. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya