Harta Muhammad Sajjad bakal dilelong - Utusan Malaysia

Harta Muhammad Sajjad bakal dilelong

MUHAMMAD Sajjad kini di Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebahagian aset milik usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzaman disita bagi membayar pampasan kepada Syarikat OWA Resources Sdn Bhd sebanyak RM200,000 yang gagal dilunas.

Perintah penyitaan itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Wahida Md. Nor selepas membenarkan permohonan Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 dari OWA Resources.

Penyitaan dan penjualan dijalankan pukul 10.30 pagi tadi di rumah Muhammad Sajjad yang beralamat di Kota Damansara, Selangor.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati Muhammad Sajjad tidak memberi maklum balas untuk membayar pampasan setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada April lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan beliau membayar gantirugi kepada OWA Resources.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli yang mewakili Nurwati dan Syakir berkata, anak-anak guam fokus untuk mendapatkan pampasan yang diarahkan dibayar oleh mahkamah.

Menurutnya, barang-barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.

“Writ penyitaan dan penjualan telahpun ditampal di premis defendan pada hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini,”

“Sekiranya jumlah pungutan wang hasil dari lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang telah disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya