Pegawai AADK dituduh punca kematian pemuda - Utusan Malaysia

Pegawai AADK dituduh punca kematian pemuda

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pemuda berusia 24 tahun pada Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada  Md. Ilyas Syahmi Ibnu, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.

Md. Ilyas Syahmi dari Kamunting, Perak kelihatan tenang pada prosiding itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zahari Ayub di hadapan bangunan Pejabat Penguatkuasaan AADK Daerah Kuala Muda di Sungai Petani dekat sini pukul 10.40 malam, 18 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Khairul Azreem Mamat dan Mohd. Farhan Aliff Ahmad dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan serta laporan bedah siasat dan kimia. 

Tertuduh diwakili peguam, Mohd. Shafiq Ahmed Bazari dan Nur Elissa Baharudin.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun itu berlaku semasa sepasukan penguat kuasa agensi kerajaan menjalankan pemeriksaan dan tangkapan berkaitan kes dadah.

Akhbar sebelum ini melaporkan keluarga kepada mangsa, Zahari Ayub, 24, yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul anggota sebuah agensi penguat kuasa mengharapkan siasatan  dijalankan secara adil dan segera oleh polis.

Zahari, anak bongsu daripada empat beradik dan tinggal bersama keluarga di Taman Lambaian Jerai, Gurun dekat sini meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, dua hari kemudian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya