Pemandu rempuh mati wanita berdepan tuduhan bunuh - Utusan Malaysia

Pemandu rempuh mati wanita berdepan tuduhan bunuh

GUI Chui yang berkerusi roda ketika dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh dalam kemalangan jalan raya pada Ahad lalu di Muar, Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melanggar lampu isyarat dan merempuh sebuah Perodua Myvi sehingga pemandunya maut dalam nahas lima buah kenderaan, berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Gui Chui, 69, yang juga seorang pengusaha pasar raya mini hanya mengganguk faham ketika pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Zuraidah Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut ke atas Norain Abu Samah, 41, di lampu isyarat Bypass Temenggong Ahmad Jalan Pintasan Bandar Muar pada pukul 7.45 pagi, 25 April lalu.

Atas pertuduhan itu, dia yang dibawa ke mahkamah dengan berkerusi roda didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi, manakala tertuduh diwakili peguam, R.K. Balakrishnan.

Tertuduh juga tidak ditawarkan sebarang jaminan dan mahkamah menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan bedah siasat mangsa, laporan kimia dan laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Ahad lalu, mangsa yang memandu Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan seluruh anggota badan akibat dirempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki.

Anak mangsa, Nur Nabila Alisha Mohd. Zalisham, 19, yang berada dalam kenderaan sama turut parah di kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kejadian berlaku akibat pacuan empat roda dipandu tertuduh yang datang dari arah Parit Jawa menghala ke Bandar Muar tidak berhenti semasa lampu isyarat merah sehingga merempuh kenderaan mangsa yang baru bergerak setelah lampu isyarat bertukar hijau.

Berdasarkan video yang tular, lelaki itu yang memandu dengan kelajuan tinggi turut merempuh tiga kenderaan lain termasuk dua buah van dan Nissan Grand Livina yang berada di arah bertentangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya