Empat pengarah syarikat dituduh cemar Sg. Kundang - Utusan Malaysia

Empat pengarah syarikat dituduh cemar Sg. Kundang

EMPAT pengarah syarikat kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai ketika dibawa untuk didakwa atas pertuduhan melepaskan bahan buangan ke dalam Sungai Kundang, Rawang, Selangor di Mahkamah Sesyen Selayang, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat pengarah syarikat kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas pertuduhan melepaskan bahan buangan ke dalam Sungai Kundang, Rawang, hujung bulan lalu.

Tiga lelaki, Ong Seng Khek ,71, Low Sze Wai , 66, Ong Chee Ming ,34, dan seorang wanita, Siow Lee Chen ,66, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan Syarikat United Fineoleo Sdn Bhd. yang terletak di di Lot 19701, Jalan KPK 1/3, Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya, Gombak di sini ke dalam parit yang mengalir ke dalam Sungai Kundang pada 22 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama-sama dengan Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela, S.Y.Ong turut didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan membenarkan lapan imigran haram warga Myanmar berada di dalam kilang terbabit tanpa kebenaran yang sah pada pukul 3 petang, 26 Oktober lepas.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-dua sekali bagi setiap imigran tersebut, jika sabit kesalahan.

Mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Secara keseluruhannya, kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM55,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula kes pada 7 Disember ini.

Ahkbar sebelum ini melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati berlakunya pencemaran bau yang berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 ton pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Hasil siasatan menjurus kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian tersebut yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya