KOTA BHARU: Seorang pemuda menjual durian jenis Musang King serendah RM20 sekilogram sejak lima tahun lalu.
Ahmad Maher Safiain berkata, dia berbuat demikian bagi membolehkan semua golongan menikmati keenakan rasa buah ‘kayangan’ itu pada harga lebih rendah.
Katanya, dia masih mampu memperoleh keuntungan walaupun raja buah itu dijual lebih rendah berbanding pasaran.
“Saya tidak berniat merosakkan harga pasaran sebaliknya merupakan salah satu bentuk perkongsian rezeki kepada mereka yang belum pernah menjamahnya.
“Harapan saya agar golongan yang tidak berkemampuan dapat menikmati raja buah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bekalang Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini semalam.
Ahmad Maher berkata, pelanggan tidak perlu risau kerana buah yang dijual itu segar dari ladang yang terletak di Tanah Merah dan Kuala Krai.
“Musang King ini adalah hasil yang dikutip dari kebun diusahakan oleh ahli keluarga. Jadi harga yang saya tawarkan kepada pelanggan sudah mengambil kira semua kos,” ujarnya,
Katanya, walaupun dia masih mengekalkan harga jualan rendah itu, sambutan yang diterima daripada pelanggan kurang memberangsangkan ketika ini.
Katanya, dia tidak menolak kemungkinan suasana ekonomi ketika ini membuatkan orang ramai berhati-hati dalam berbelanja.-UTUSAN.










