JERANTUT: Pemilihan Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini menerima penghargaan ASEAN Tourism Standard Award 2025-2027 di Persada Johor International Convention Center Johor Bahru, Johor membuktikan perkampungan itu ‘permata tersembunyi’ dalam industri pelancongan di negara ini.
Pengerusi Pelancongan Kuala Sat, Khamri Basri berkata, kampung itu adalah penempatan penduduk Melayu tradisional di pesisir Sungai Tembeling antara lima buah pusat pelancongan terbaik di negara ini.
“Faktor kejayaan ini kerana ia melaksanakan program pelancongan berasaskan komuniti setempat yang berperanan menarik ramai pelancong seluruh dunia termasuk pelawat domestik menerusi aktiviti rekreasi dan riadah.
“Program ini melibatkan semua penduduk berganding bahu dan terbabit sepenuh masa dengan aktiviti pelancongan sebagai sumber pendapatan harian berasaskan alam sekitar hutan tropika, makanan tempatan, pusat inap desa, santuari ikan liar, pengangkutan bot penambang, kedai makan dan makanan tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Menurut Khamri, model pelancongan berasaskan komuniti itu dilaksanakan beberapa tahun lalu berjaya menambat hati pelancong khususnya dari negara Barat dan ASEAN yang singgah di situ menyelami budaya penduduk setempat di samping menikmati keindahan alam sekitar hutan tropika.
Dia berkata, anugerah itu dapat merangsang semangat penggiat pelancongan dan penduduk Kampung Kuala Sat untuk bekerja keras menerusi perancangan ekopelancongan.-UTUSAN.