KUALA TERENGGANU: Permai Hotel Kuala Terengganu, hotel milik kerajaan negeri terus mencipta kecemerlangan apabila menerima pengiktirafan sebagai johan bagi kategori ‘Best City Hotel’ di Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024), baru-baru ini.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, kejayaan tersebut adalah satu lagi kejayaan yang dicapai Permai Hotel Kuala Terengganu, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pilihan utama penginapan di bandaraya ini.
Menurutnya, anugerah itu adalah satu tanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga.
“Tahun ini, kami akan mulakan pengubahsuaian bagi 80 bilik bagi keselesaan pengunjung,,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024) itu diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur , baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Noralizan berkata, beliau optimis anugerah itu akan menjadi nilai tambah untuk pelancong menjadikannya sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti ke Kuala Terengganu.
“Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk kami terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Terengganu khususnya,” katanya ketika ditemui di sinj, hari ini. – UTUSAN










