MELAKA: Penduduk di sekitar Kem Terendak dan Tangga Batu dekat sini tidak berpuas hati ekoran gangguan bekalan elektrik secara mengejut bermula Rabu lalu.
Keadaan itu berlarutan hari berikutnya dan pagi hari ini, lantas menyebabkan beberapa peniaga terkesan terutama di sekitar Pekan Sungai Udang, selain pejabat terpaksa ditutup sementara.
Mereka meluahkan perasaan kecewa memandangkan tiada sebarang notis gangguan bekalan dikeluarkan mana-mana pihak terutamanya Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Taming Sari, Redwan Mat Adam berkata, hampir 2,200 penduduk di situ terganggu apabila bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.
Menurutnya, ini kerana kebiasaannya TNB akan mengeluarkan notis jika berlaku kerosakan pada mana-mana cawangan.
“Saya dihujani banyak panggilan telefon bertanyakan apa yang terjadi sehingga saya terpaksa menghubungi TNB sebelum dimaklumkan berlaku kerosakan kabel.
“Bila tidak ada elektrik, faham-fahamlah hendak tidur dalam keadaan panas, ramai yang terkesan pada 21 Februari lalu dan keadaan berterusan pada keesokan harinya dan pagi tadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Redwan, selepas itu TNB menerusi sepucuk surat bertarikh 22 Februari 2024 memaklumkan, berlaku kerosakan kabel utama di antara Pencawang Pembahagian Utama (PPU) IKS Tangga Batu ke Stesen Suis Utama (SSU) Kem Terendak.
“Kerosakan kabel itu masih dalam proses mencari kerosakan dan tindakan pembaikan dijangka mengambil tempoh masa yang agak panjang,” jelasnya.
Dalam pada itu, peniaga restoran, Habsah Mat Noor, 68, berkata, perniagaannya terkesan kerana tidak dapat menjual cendol dan ais batu campur (ABC).
“Sewaktu hendak memasak nasi lemak di gerai pada pukul 5.30 pagi, saya terpaksa menggunakan lilin.
“Kalau TNB maklumkan awal-awal ada kerosakan, mudahlah saya buat perancangan berniaga dan memasak lauk-pauk buat persediaan sarapan pagi,” katanya.
Sementara itu, peniaga kedai jahit, Alimah Jaafar, 65, berkata, dia tidak dapat menjalankan perniagaan Rabu lalu disebabkan bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.
“Saya menggunakan mesin jahit elektrik, bila bekalan terputus macam mana saya hendak jahit pakaian yang ditempah. Saya tidak dapat siapkan baju dan uniform tepat pada masanya,” katanya. – UTUSAN











