Kaji kerja empat hari seminggu buang masa - CUEPACS

Kaji kerja empat hari seminggu buang masa – CUEPACS

cuepacs
Adnan Mat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan langkah mengkaji kebolehlaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu adalah langkah merugikan dan tidak kena masa apabila perkara-perkara berkaitan kebajikan kakitangan awam belum dilaksanakan.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada perkara yang memberi manfaat kepada pekerja berbanding mengkaji perkara yang belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

Menurut beliau, ini kerana banyak perkara sepatutnya perlu diberi keutamaan untuk dilihat pelaksanaannya terutama berkaitan kebajikan penjawat awam berbanding kajian yang dilakukan itu.

“Kajian ini tidak relevan dan buang masa sedangkan sistem penyampaian yang ada sekarang belum boleh bagi perkhidmatan sepenuhnya.

“Lebih baik beri fokus pada kebajikan penjawat awam seperti keperitan hidup dengan harga barang semakin meningkat dan kelulusan yang dibuat oleh kerajaan seperti gantian cuti rehat (GCR) yang boleh ditebus 80 hari. Sehingga kini belum dilaksanakan, sekadar isi borang namun tidak ada bayaran dibuat.

“Jadi perkara-perkara ini sepatutnya diberi keutamaan daripada membuat kajian yang akhirnya tidak memberi manfaat kepada perkhidmatan awam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Khamis lepas, media melaporkan, JPA menubuhkan pasukan mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini.

Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, kajian itu antara lain melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam yang bersesuaian untuk pelaksanaan tempoh masa kerja berkenaan serta jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Pulangan

Katanya, kajian tersebut juga turut melihat aspek pulangan pelaburan, sama ada tempoh waktu bekerja itu relevan untuk dilaksanakan atau sebaliknya.

Justeru, Presiden CUEPACS itu mengharapkan penjawat awam tidak dimomokkan dengan kajian tersebut, sebaliknya kekal terus diberi penekanan untuk fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Laksanakan apa yang telah diluluskan kerana ia juga sebahagian bentuk kebajikan supaya penjawat awam terus memberi perkhidmatan terbaik,” jelasnya.

Kaji selidik yang dijalankan syarikat Qualtrics sebelum ini mendapati, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu.

Bagaimanapun, kaji selidik yang Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pada April lalu menunjukkan, sebahagian besar majikan di negara ini tidak bersedia melaksanakan dasar waktu bekerja empat hari dalam seminggu.

Kaji selidik itu mendapati, 60 peratus daripada 170 syarikat yang tidak mempunyai kerja syif dan 78.6 peratus daripada 112 syarikat yang mempunyai kerja syif, masing-masing tidak bercadang amalan minggu bekerja yang lebih singkat.

Selain itu, 55 peratus daripada 111 syarikat yang mempunyai kerja syif dan 38.3 peratus daripada 162 syarikat dengan kerja syif, juga mengakui tidak dapat melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu.

Ia berikutan waktu bekerja seminggu akan dipendekkan daripada 48 jam kepada 45 jam, selaras pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa 1 September ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN