Kilang tutup sebab ayam tak cukup berat - Utusan Malaysia

Kilang tutup sebab ayam tak cukup berat

NORENA Jaafar bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Program Pengguna Bestari Sentuhan Kasih Aidilfitri di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penutupan sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin dekat sini selama dua hari bukan disebabkan protes akibat rasa tidak puas hati lambat diberikan subsidi oleh kerajaan, kata Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.

Sebaliknya, beliau berkata, ia disebabkan kilang tersebut menghadapi masalah tumbesaran ayam hidup yang tidak mencapai berat sepatutnya.

\Katanya lagi, pihaknya telah menerima notis daripada peladang terlibat yang memohon untuk menutup kilang mereka pada Sabtu dan Ahad ini.

Sejurus menerima notis tersebut, KPDNHEP telah pergi ke kilang tersebut dan melihat fizikal ayam hidup yang diternak tidak cukup berat iaitu 1.1 kilogram (kg) dan kadar tersebut tidak sesuai untuk dijual. 

“Dakwaan kononnya penutupan kilang itu adalah tindakan protes, itu memang tidak betul sama sekali. Keadaan itu telah menimbulkan panik dalam kalangan pengguna yang membeli dengan kuantiti banyak.

“Sebenarnya, tidak timbul langsung isu kekurangan bekalan ayam mentah di negeri ini ekoran penutupan sebuah kilang sahaja. Kilang itu ditutup kerana masalah tumbesaran ayam,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Pengguna Bestari Sentuhan Kasih Aidilfitri di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia berkenaan sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan hujung minggu ini, sebagai protes terhadap kerajaan yang dikatakan lambat membayar subsidi harga ayam.

Semalam, Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menafikan penutupan dua hari sebuah kilang pengeluaran ayam di Jasin di sini, mempunyai kaitan dengan tindakan protes berhubung subsidi.

Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng berkata, setakat ini, pihaknya tidak pernah menerima aduan atau mendengar desas-desus mengenai sebarang gerakan protes membabitkan pengusaha ladang ayam.

Dalam pada itu, Norena turut meminta orang ramai agar tidak panik membeli ayam dalam kuantiti yang banyak kerana bekalan adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna di negeri ini.

“Kalau pengguna membeli dengan jumlah yang banyak, ini akan menimbulkan kesusahan kepada pengguna lain memandangkan hujung minggu ini banyak jamuan rumah terbuka Aidilfitri akan diadakan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN