Durian Pulau Pinang kurang hingga 30 peratus - Utusan Malaysia

Durian Pulau Pinang kurang hingga 30 peratus

MOHD. MUHAIMIN Ibrahim (kanan) pada majlis jamuan Aidilfitri sempena Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pertanian Pulau Pinang di di Bukit Bertajam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pertanian negeri menjangkakan hasil durian di Pulau Pinang berkurangan  20 hingga 30 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarahnya, Mohd. Muhaimin Ibrahim berkata, jangkaan itu mengambil kira beberapa faktor termasuk kenaikan harga baja dan racun yang mencecah hingga 70 peratus ketika ini.

Menurut beliau, faktor cuaca seperti hujan lebat juga menyumbang kerana ia berlaku ketika durian sedangberbunga atau berputik.

“Disebabkan itu juga, tidak banyak bunga durian yang kekal berputik kerana sebahagian daripadanya gugur akibat hujan dan sebagainya,” kata selepas Majlis Penyerahan Insentif Teknologi Pertanian serta jamuan Aidilfitri sempena Hari Bertemu Pelanggan di pejabat Pertanian negeri, Jalan Kulim di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan akan berlaku kenaikan harga khususnya bagi sesetengah jenis durian disebabkan pengeluaran ‘raja buah’ itu yang berkurangan.

Katanya, kenaikan harga itu disifatkan fleksibel kerana bergantung kepada pengusaha-pengusaha durian itu sendiri.

Pada masa sama, beliau memberitahu, ada sesetengah pengusaha durian terutama di bahagian pulau  telah menerima ‘tempahan’ durian lebih awal iaitu sebelum buah berkenaan gugur.

“Tempahan ini juga lebih kepada buah durian jenis premium seperti duri hitam dan sebagainya,” katanya yang berharap durian biasa seperti durian kampung dapat dijual pada harga yang sama seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohd. Muhaimin percaya tidak akan timbul isu lambakan durian terutamanya melibatkan durian kampung di Pulau Pinang kali ini.

“Kalau kita lihat, isu di Pahang (lambakan durian) lebih kepada isu eksport kerana durian mereka dieksport ke luar. Jadi, apabila ada masalah berkaitan eksport, maka, nampak seperti ada lambakan di sana,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN