PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bercadang mengeluarkan simpanan mereka diingatkan agar berhati-hati agar tidak terjebak dan mudah tertipu dengan sebarang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Penegasan itu dibuat oleh Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Victor berkata, susulan pengumuman pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000, tidak mustahil ada pihak ‘cuba-cuba’ mengambil peluang itu untuk melakukan pelbagai bentuk penipuan.
Kata beliau, modus operandi sindiket penipuan ini adalah dengan menggunakan taktik penyamaran dengan membuat panggilan telefon, menghantar mesej pada aplikasi WhatsApp dan cipta laman sesawang palsu untuk memperdaya mangsa.
Jelas beliau, penipu-penipu ini kemudiannya akan memperkenalkan diri sebagai wakil KWSP kononnya mahu membantu mangsa memohon pengeluaran wang terbabit.
Ejen
Selain itu, jelas Victor, ada juga individu memperkenalkan diri sebagai ejen dengan menawarkan perkhidmatan membantu mempercepatkan proses permohonan pengeluaran wang berkenaan melalui mesej di aplikasi WhatsApp dengan bayaran tertentu.
“Malah ada sindiket yang mewujudkan laman sesawang palsu KWSP dengan meletakkan ‘maklumat’ seperti syarat permohonan, cara memohon dan semakan secara dalam talian bagi meyakinkan mangsa bahawa ia adalah benar,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Victor menegaskan, pemantauan berterusan akan dilakukan JSJK terutama di media sosial mengenai kewujudan laman sesawang atau mesej daripada sindiket penipuan.
“Sindiket penipuan ini sentiasa menanti dan mengambil peluang untuk menipu.
“Oleh itu, PDRM ingin mengingatkan agar mereka yang ingin mengeluarkan wang mereka di KWSP sentiasa berwaspada dan terus berurusan dengan pihak KWSP di kaunter. Jika ada sebarang maklumat cubaan penipuan, masyarakat boleh menghubungi CCID Scam Response Center di JSJK 03-2610-1559 atau 1599,” jelasnya.
Sementara itu, KWSP menerusi laman Facebook rasmi mereka memaklumkan, pihaknya tidak pernah melantik orang ketiga dalam menguruskan pengeluaran khas berkenaan.
Jelas hantaran itu, orang ramai diminta berhati-hati dengan iklan permohonan pengeluaran khas yang dikongsikan di laman media sosial.
“Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata hantaran itu.
Sebagai memahami keperitan kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas fasa pandemik Covid-19.- UTUSAN











