Sedar atau tidak, tidak wajar Kak Long 7E hina sifat OKU - Zuhairi - Utusan Malaysia

Sedar atau tidak, tidak wajar Kak Long 7E hina sifat OKU – Zuhairi

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sama ada sedar atau tidak, Kak Long 7E atau nama sebenarnya, Wan Nor Baizura Bharudin, 33, tidak sepatutnya menghina dan mengejek sifat orang kelainan upaya (OKU). 

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, beliau percaya Wan Nor Baizura sedar dengan tindakan yang dilakukannya itu. 

“Saya percaya Kak Long itu mesti sedar perbuatannya, dia bukan bercakap, tetapi, seolah-olah berlakon apabila caranya berjalan dan membuat mulut senget seakan-akan mengejek OKU.

“Jadi, dia mesti sedar perbuatannya itu, sebagai orang normal, tidak sepatutnya Kak Long menghina OKU, dia perlu lebih berhati-hati dalam perbuatannya kerana ia telah mengguris perasaan insan OKU. 

“Seperti kita sedia maklum, OKU ini insan sensitif. Bukan sahaja kerajaan, malah, masyarakat pun jaga dan menghormati individu OKU, jangan kita khususnya orang normal guris perasaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Wan Nor Baizura sekali lagi menjadi tumpuan ramai selepas dia dikatakan seolah-olah berlakon seperti golongan OKU.

Sebuah video berdurasi 31 saat memaparkan wanita terbabit menunjukkan mimik muka serta perwatakan seperti OKU tular dalam media sosial, sejak semalam.

Semalam, seorang jurutera mekanikal membuat laporan polis di Subang Jaya, Selangor kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Wan Nor Baizura.

Pengadu, Khairull Hafiz Ismail, 42, berkata, sebagai individu tergolong dalam kumpulan OKU, dia merasa tidak puas hati dengan tindakan wanita itu kerana ia adalah satu penghinaan kepada OKU.

Sebelum ini, Kak Long pernah dikecam oleh netizen gara-gara mengamuk di sebuah serbaneka 7Eleven yang dipercayai di Paka, Terengganu.

Tidak lama selepas kejadian itu, Kak Long datang semula ke kedai tersebut untuk meminta maaf kepada pihak yang terlibat.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, dia menasihati Wan Nor Baizura supaya lebih berhati-hati dalam perbuatannya.

“Dibimbangi selepas ini akan ada tindakan drastik daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh Wan Nor Baizura,” katanya. –UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN