LANGKAWI: Penduduk di penempatan haram Bukit Malut di sini menyatakan kesediaan untuk membeli rumah baharu sekiranya dibangunkan oleh kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di perkampungan itu.
Malah, mereka tidak sabar untuk menghuni 1,200 buah rumah yang dicadangkan untuk dibangunkan di kawasan seluas 24 hektar di tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Abdullah, 47, berkata, penduduk di penempatan haram Bukit Malut ini bersedia berpindah dan tinggal di kawasan penempatan baharu tersebut.
Malah katanya, mereka juga sanggup membeli rumah tersebut sekiranya dijual dengan harga yang berpatutan.
“Kalau kerajaan menawarkan rumah tersebut dengan harga berpatutan, penduduk tidak mempunyai masalah untuk membeli rumah baharu tersebut.
“Penduduk mahu tinggal dalam keadaan selesa dan selamat berbanding sekarang yang semakin sesak dan padat serta tidak terurus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilapor mencadangkan kepada MKN supaya membina sebanyak 1,200 buah rumah baharu secara tersusun untuk memindahkan penduduk di penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi.
Menurut beliau, rumah baharu tersebut bakal dibangunkan di kawasan seluas 24 hektar daripada 77 hektar tanah milik LKIM terletak di Bukit Malut itu.
Seorang lagi penduduk, Mohamad, 45, juga menyatakan dia bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri itu memandangkan penempatan tersebut berdekatan dengan laut.
Katanya, sebanyak 90 peratus penduduk di Bukit Malut bekerja sebagai nelayan dan mereka ingin kekal tinggal kawasan itu.
“Sekiranya penduduk dipindahkan ke tempat lain, mereka menghadapi kesulitan untuk ke laut termasuk meletakkan bot berdekatan rumah serta boleh menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.
Seorang warga emas, Aminah, 80, berkata, dia berharap kerajaan dapat melaksanakan pembinaan rumah tersusun itu untuk penduduk di Bukit Malut yang terabai selama ini.
“Isu penempatan penduduk di sini telah berlarutan sejak berpuluh tahun lagi. Jadi diharapkan kerajaan dapat menyelesaikan segera masalah tersebut demi masa depan penduduk perkampungan ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE