Keluarga T20, M40 terjejas turut ambil pakaian sekolah terpakai - Utusan Malaysia

Keluarga T20, M40 terjejas turut ambil pakaian sekolah terpakai

GOLONGAN ibu bapa tidak melepaskan peluang hadir mengambil barangan sekolah baharu dan terpakai untuk kegunaaan anak masing-masing di SK Seri Permai, Georgetown, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Ibu bapa termasuk kategori berpendapatan T20 dan sederhana M40 kini tidak lagi berasa malu malu apabila turut bersama-sama masyarakat B40 mengambil sumbangan pakaian dan peralatan sekolah terpakai untuk kegunaan anak-anak.

Rata-rata mereka yang mendakwa sudah bertukar status kepada kumpulan B40 juga dikatakan terdesak mahu menerima bantuan persekolahan kali ini sebagai langkah meringankan beban yang ditanggung berikutan berdepan masalah kewangan akibat pendemik Covid-19.

Bukan setakat itu, pembukaan sesi persekolahan pada Isnin ini juga dikatakan berlangsung di saat mereka belum bergaji dan tidak mempunyai kewangan yang stabil.

Bagi pemandu e-hailing, Khairul Nizam Mohamad, 43, berkata, kini tiada lagi istilah menggayakan pakaian dan kelengkapan sekolah baharu pada hari pertama persekolahan buat enam anaknya selain terpaksa mengguna pakai semula barangan sedia ada.

Akuinya, keadaan ekonomi di saat pandemik melanda negara sememangnya memberi tekanan kewangan buat rakyat terutama membabitkan kenaikan harga barangan persekolahan dan keperluan makanan harian.

“Meskipun sesi persekolahan akan bermula Isnin ini (esok) tetapi kami belum membuat apa-apa persiapan melainkan membeli buku sekolah anak sahaja. Itupun tidak banyak dan dibeli dalam kuantiti yang sedikit.

“Saya mengakui terpaksa meminjam wang dengan keluarga bagi melancarkan urusan pembelian buku memandangkan gaji diterima setiap hujung bulan,” katanya ketika ditemui sewaktu mengambil barangan dan pakaian sekolah terpakai di Sekolah Kebangsaan Seri Permai, di sini semalam.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan biro kebajikan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti Sekolah (PIBKS) SK Seri Permai itu dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat lalu hasil kerjasama serta sokongan Guru Besar, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail.

Seorang lagi waris yang juga pekerja swasta, Faizah Shaari, 41, memberitahu, dia terpaksa menyisihkan perasaan segan untuk datang memilih serta mengambil barangan kelengkapan sekolah terpakai untuk dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun di sekolah berkenaan.

“Saya hanya menerima gaji pokok bulan lalu disebabkan tidak menerima wang tuntutan kerja lebih masa kerana perlu menjaga anak yang positif Covid-19 manakala suami pula diberhentikan kerja.

“Saya ambil barang keperluan yang penting seperti pakaian sekolah, baju sukan, kasut dan beg untuk dia anak. Jika dibeli, mungkin semuanya berharga lebih RM200.

“Usaha pihak PIBG sekolah sememangnya dipuji kerana membantu meringankan beban ibu bapa yang terkesan dengan pandemik. Memang kami tunggu program sebegini diadakan,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Seri, Sharizal Md. Noor berkata, penganjuran program tersebut sememangnya disambut baik waris murid terdiri daripada kategori B40 sehingga T20.

“Program ini dianjurkan buat pertama kali secara bersemuka di sekolah bagi tujuan membantu golongan terkesan menyediakan persiapan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“Kami menyediakan lebih 40 barangan kelengkapan baharu dan pakaian sekolah terpakai hasil sumbangan para ibu bapa. Tidak sangka program ini mendapat sambutan terutama daripada golongan M40 dan T20.

“Kami terbuka kepada semua waris dan tiada halangan untuk mereka mengambil dalam kuantiti yang banyak. Ambillah apa yang mereka mahukan demi meringankan beban kewangan,” ujarnya yang menambah, dianggarkan lebih 100 orang murid dapat mengguna pakai barangan keperluan yang disumbangkan itu. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN