SUNGAI PETANI: Ramai dalam kalangan ibu bapa di sini sibuk membuat persiapan terakhir membeli kelengkapan persekolahan untuk anak masing-masing yang akan kembali ke sekolah esok.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati mereka mahu anak masing-masing berpakaian seragam baharu pada hari pertama sesi persekolahan 2022 secara bersemuka untuk membangkitkan semangat mereka belajar.
Seorang ibu, Maziah Muhammad, 45, berkata, dia membeli pakaian seragam untuk anak perempuannya Nur Hana Atiqah Asmadi, 10, kerana pakaian lamanya telah lusuh.
“Memang setiap kali sesi persekolahan baharu, saya membeli semua pakaian seragam dan aktiviti kurikulum untuk tiga anak untuk menceriakan mereka ke sekolah.
“Kelengkapan sekolah dua lagi anak saya dibeli awal berbanding Nur Hana terpaksa dibeli saat akhir kerana sibuk bekerja,” katanya ditemui di sebuah kedai pakaian sekolah di Jalan Petri di sini hari ini.
Sementara itu, Pida Syahafiza, 35, dari Ambangan Heights pula berkata, dia membeli pakaian seragam untuk dua anaknya yang bersekolah di tahun satu dan tahun empat
pada saat akhir kerana tidak mahu bersesak dengan orang ramai.
“Memang sejak seminggu lalu, kebanyakkan kedai menjual pakaian dan peralatan sekolah dipenuhi orang ramai menyebabkan saya memilih hari ini untuk membeli seragam sekolah anak.
“Saya tidak perlu bersesak untuk memilih, pakaian seragam itu bersesuaian dengan anak saya itu,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, Nursalwa Ismail,43, berkata, dia hanya datang membeli sampin kelas fardu ain (KAFA) untuk anak lelaki tunggalnya, Arif Ramzam Abd.Rahim, 9, kerana semua kelengkapan baharunya telah dibeli awal.
” Hari ini, saya beli sampin baharu untuk anak lelaki saya selepas mendapati sampin lamanya telah lusuh,” katanya.-UTUSAN ONLINE