PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan bahawa nasib 13 warga Malaysia yang terkandas di Manila diberikan perhatian pihak Kedutaan Besar Malaysia di Filipina.
Menerusi ciapan dalam akaun sosial Twitternya, beliau malah menjelaskan, pihak kedutaan sedang berusaha keras menyantuni mereka yang gagal memasuki negara tersebut.
“Pihak Kementerian Luar juga sedang berurusan dengan agensi berkaitan bagi memudahkan proses ini berjalan lancar,” nukil beliau sebagai merujuk insiden tidak dijangka berkenaan.
Semalam, sebuah portal berita di negara jiran itu melaporkan sekumpulan 15 pelancong asing termasuk 13 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino.
Mereka dilarang masuk oleh pihak imigresen Filipina kerana data dipaparkan oleh sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti imunisasi lengkap Covid-19.
Lebih malang lagi, pasport mereka turut dirampas dan terpaksa tidur di lantai terminal dewan ketibaan lapangan terbang berkenaan sebelum akan diusir balik ke Malaysia pada Selasa ini.
Bagaimanapun, penumpang lain yang kebetulan berada dalam penerbangan sama dari Kuala Lumpur pula dibenarkan masuk kerana mereka menerima vaksin di Singapura atau Britain.
Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Manila telah berada di lokasi berkenaan untuk menguruskan isu kebajikan sedozen rakyat negara yang terkandas.
Duta Besar Malaysia ke negara tersebut, Norman Muhamad turut dilaporkan telah menemui penumpang terbabit dan memberi jaminan sedang sedaya upaya menolong mereka semua.
Pihak kedutaan juga berunding dengan imigresen Filipina dan pasukan Malaysia Airlines untuk proses kecemasan dan membawa pulang 13 warga Malaysia berkenaan dengan selamat.
Perbincangan itu namun tidak berjaya dan para pegawai kedutaan ketika ini berhubung rapat dengan Kementerian Luar Filipina bagi pertimbangan kelulusan khas penghantaran balik. –UTUSAN ONLINE