Muara cetek: Nelayan terpaksa keluar seawal 4 pagi - Utusan Malaysia

Muara cetek: Nelayan terpaksa keluar seawal 4 pagi

BEBERAPA nelayan terpaksa membantu menaikkan bot rakan mereka susulan masalah muara cetak di Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus, semalam. - TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Masalah muara cetek yang menghimpit 120 nelayan di Pantai Tok Jembal di sini menyebabkan rata-ratanya terpaksa bergadai nyawa dengan keluar ke laut seawal pukul 4 pagi semata-mata untuk mencari rezeki.

Seorang nelayan, Che Rani Abdullah, 56, berkata, keadaan yang makin meruncing itu turut mengakibatkan mereka menanggung kerugian ribuan ringgit ekoran kerosakan pada bot masing-masing.

Katanya, sebelum ini, nelayan lazimnya keluar ke laut selepas Subuh dan pulang semula kira-kira pukul 2 petang, namun, rutin itu berubah sejak empat tahun lalu.

“Tempoh berada di laut menjadi singkat kerana kami terpaksa balik sebelum pukul 10 pagi ketika air pasang. Kalau dahulu pendapatan mencecah RM500 sehari tetapi kini kira-kira RM150 sahaja. 

“Walaupun hasil tidak seberapa dan perlu bergadai nyawa pergi dan balik, namun, kerja perlu diteruskan kerana ini sahaja punca rezeki kami untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Che Rani berkata, pada 2019, dia bersama rakan-rakan nelayan pernah berhabis lebih RM3,000 bagi mengupah pihak kontraktor mendalamkan muara Pantai Tok Jembal, tetapi, usaha itu bertahan kurang seminggu.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Azam Mazali Manan, 34, berkata, paras air di Pantai Tok Jembal kini kurang satu meter dan tidak lagi sesuai untuk aktiviti keluar masuk bot nelayan berbanding empat meter, sebelumnya.

Katanya, walaupun pelbagai aduan dibuat kepada pihak berwajib, namun masih tiada sebarang perubahan hingga kini, malah keadaan itu turut menjejaskan pendapatan penduduk setempat yang menjalankan perniagaan hasil laut.

“Ramai nelayan berpindah ke jeti Mengabang Telipot dan Batu Rakit kerana tidak sanggup berdepan masalah muara cetek. Jadi saya merayu pihak berkuasa untuk menangani masalah ini segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya