KANGAR : Penceramah bebas, Dr. Zakir Naik yang berada di negeri ini selama tiga hari sehingga Ahad akan berkongsikan pengalaman, kehidupan dan nasihat menerusi program yang telah diaturkan.
Kedatangan pendakwah antarabangsa itu sangat dinanti-nantikan oleh rakyat di negeri ini bagi mendengar sendiri pengalaman serta liku-liku kehidupan serta cabaran sepanjang bergelar pendakwah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis, Muhammad Zamri Vinod Kalimuthu memberitahu, Zakir sudah tiba di negeri ini dan sempat meluangkan masa menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Arau, hari ini.
Katanya, Zakir akan berkongsikan pengalaman, kehidupan dan nasihat kepada pendakwah-pendakwah muda menerusi sesi bersama beliau sendiri yang dijadualkan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini pada pukul 9 malam, esok.
“Ini juga atas permintaan Mufti Perlis (Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin) sendiri untuk Zakir menceritakan pengalaman seterusnya mampu memberi inspirasi kepada orang ramai dan pendakwah-pendakwah lain.
“Zakir sudah banyak kali datang ke negeri ini dan mendapat sambutan cukup baik dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya.
Tambah Muhammad Zamri, kedatangan Zakir ke negeri ini diatur oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi One Centre Malaysia Perlis, Jabatan Mufti negeri dan Jabatan Agama Islam negeri.
“Kedatangan Zakir sangat disambut baik memandangkan beliau ialah seorang pendakwah yang cukup dihormati di peringkat antarabangsa,” kata anak didik Zakir itu. -UTUSAN ONLINE










