PETALING JAYA: Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan beroperasi selama 24 jam mulai Jumaat ini hingga 7 Februari ini bagi memudahkan pengguna mendapatkan bantuan susulan pertambahan jumlah kenderaan mencecah 4.6 juta sehari di seluruh lebuh raya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Pusat Pengurusan Trafik LLM memberitahu Utusan Malaysia, pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1–800–88–7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik.
Menurut pusat berkenaan, jumlah trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mencecah 1.6 juta kenderaan sehari dan pertambahan tersebut akan berlaku secara berperingkat.
“Bagi lebuh raya menuju ke Pantai Timur, 180,000 kenderaan sehari dijangka akan menggunakan Lebuhraya KL-Karak selain di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dijangka akan mencapai 80,000 kenderaan sehari.
“Sebanyak 32,000 kenderaan lagi dijangka akan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 pada waktu puncak nanti,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata pusat itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook LLM atau di Twitter @LLMinfotrafik.
“Pihak LLM juga ingin menasihatkan pengguna agar memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan selain pastikan baki kad touch and go dan e-wallet adalah mencukupi dan menggunakan mode bayaran yang sama untuk masuk dan keluar di plaza tol.
“Pengguna perlu merancang dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan dengan mengikut jadual Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang dikeluarkan oleh pihak pengendali lebuh raya PLUS Berhad dan ANIH Berhad,” jelasnya.
Dalam pada itu, LLM turut mengingatkan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu pemakaian pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, elakkan 3C (close contact, crowded area & close conversation) apabila berada di kawasan rehat dan rawat (RnR)
“SOP penggunaan surau dan tandas juga perlu dipatuhi selain merekodkan pergerakan menerusi aplikasi MySejahtera terutamanya apabila berada di kawasan RnR,” katanya. -UTUSAN ONLINE