SEREMBAN: Seorang pelari dari Nismilan Runners Club (NRC) meninggal dunia selepas rebah sebaik sahaja menamatkan aktiviti larian berganti-ganti berkumpulan yang diadakan bersama ahli kelabnya pagi tadi.
Mohd. Husni Mubarak, 41, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Senawang.
Setiausaha NRC, Faizul Shahrul Mohd. Salleh, 46 , berkata, ketika kejadian, Allahyarham baru sahaja selesai menamatkan larian berganti-ganti berkumpulan sejauh lima kilometer di Taman Tasik Bandar Baru Senawang di sini dan menyertai rakannya yang lain yang sedang berkelah.
“Ketika arwah selesai berlari sejauh satu kilometer, dia sempat berbual mengenai bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh yang meninggal dunia ketika sedang berbasikal kelmarin.
“Kemudian, dia tiba-tiba sahaja rebah sehingga menyebabkan terdapat luka di kepala terkena batu di atas jalan dan mengalami sawan.
“Kami terus menghantar dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun, tidak lama kemudian, kami dimaklumkan oleh doktor bertugas dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kelabnya mengadakan aktiviti dan berkelah di taman berkenaan sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang ke-74 hari ini.
“Kami agak terkejut dengan pemergian arwah, sepanjang dua tahun dia menyertai kelab ini, dia tidak pernah bercerita yang dia mempunyai apa-apa penyakit. Bagaimanapun, adik iparnya memaklumkan pagi ini, arwah mempunyai penyakit darah tinggi.
“Arwah seorang yang aktif di dalam kelab ini dan banyak memberi kerjasama. Arwah juga aktif dalam aktiviti larian, mendaki gunung dan berbasikal,” kata Faizul Shahrul lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
“Pihak polis telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 10.51 pagi dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
“Kami dimaklumkan daripada ahli keluarga, Allahyarham mempunyai penyakit darah tinggi dan sering mendapatkan rawatan di hospital.
“Jenazah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kejadian,” katanya. -UTUSAN ONLINE










