Pasukan Komuniti Padang Terap bantu selamatkan perkhidmatan teksi  - Utusan Malaysia

Pasukan Komuniti Padang Terap bantu selamatkan perkhidmatan teksi 

NOR Miswary Ramli (dua dari kiri) bersama sebahagian pemandu teksi ketika mengadakan mempromosikan Program Teksi Komuniti Anda di Kuala Nerang, Padang Terap hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP : Pasukan Komuniti Padang Terap membantu menyelamatkan perkhidmatan teksi di daerah ini  dengan mempromosi dan memaparkan nombor telefon pemandu teksi untuk kemudahan orang ramai mendapatkan perkhidmatan pengangkutan tersebut.

Penaung Pasukan Khidmat Komuniti Padang Terap, Nor Miswary Ramli berkata, langkah tersebut diambil menerusi Program Teksi Komuniti Anda selepas mendapati perkhidmatan teksi semakin tidak mendapat sambutan selepas perkhidmatan pengangkutan melalui aplikasi diperkenalkan di negara ini.

Menurutnya, pada program itu, pasukan khidmat komuniti tersebut mengambil inisiatif mempromosi dan memaparkan nombor telefon pemandu teksi di tempat-tempat tumpuan ramai seperti pasar raya, hospital dan klinik.

“Idea itu tercetus setelah memikirkan cara untuk menyelamatkan perkhidmatan teksi selain menghasilkan sedikit pendapatan kepada pemandu teksi di daerah ini.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dengan berbaki 19 pemandu teksi di daerah ini dan mereka sering merungut dan mengadu hilang punca pendapatan kerana ketiadaan pelanggan,” katanya.

Beliau ditemui setelah menyampaikan sumbangan makanan kepada pemandu teksi di pekarangan Stesen Bas Kuala Nerang di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

Beliau berkata, inisiatif ini dilihat  berkesan terutama dalam kalangan warga emas yang lebih selesa menghubungi terus berbanding membuka aplikasi di telefon bimbit.

“Sebanyak 19 pemandu teksi ini semuanya berumur lebih 60 tahun dan mereka tidak  berupaya mempelajari kemudahan teknologi pada masa sekarang,” ujarnya

Selain itu, tambahnya, pihaknya juga menyampaikan cara-cara memohon bantuan yang diberi kerajaan untuk meringankan beban mereka.

Sementara itu, orang pemandu teksi, Zainal Muhammad, 68, berkata, dia yang memandu teksi sejak 25 tahun lalu juga mengakui industri perkhidmatan ini bakal lenyap sepenuhnya tidak lama lagi 

“Tiga tahun kebelakangan ini makin serius kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami datang tunggu waktu pagi hingga petang langsung tiada pelanggan.

“Kami tidak salahkan perkhidmatan seperti e-hailing , Grab dan lain-lain kerana faham ramai orang muda cekap dengan kemudahan telefon bimbit dan aplikasi jadi kami reda jika itu saja rezeki kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya