PUTRAJAYA: Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030 meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sehingga 50 peratus pada tahun 2030.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pelan itu juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan melindungi kebajikan semua pengguna jalan raya.
Beliau berkata, PKJRM 2022-2030 menetapkan visi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sifar kematian akibat nahas Jalan raya.
“Hala tuju itu selaras seruan dan sasaran resolusi 74 palang 299, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan tahun 2021-2030, sebagai dekad tindakan keselamatan kedua, sejurus tamatnya dekad pertama pada tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2022, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu, Ka Siong berkata, empat program utama dilaksanakan serentak membabitkan agensi kerajaan dan pihak swasta bermula Selasa lalu hingga 8 Februari ini.
Katanya, ia merangkumi Program Pendidikan dan Advokasi, Penguatkuasaan, Pencegahan dan Pemantauan, serta Penilaian.
“Kempen itu dilancarkan sebagai satu usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya, serta mengawal selia pergerakan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya pada musim perayaan.
“Ops Bersepadu itu membabitkan 2,200 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara,” katanya.
Katanya, antara inisiatif dilaksanakan JPJ adalah mengadakan kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya.
Selain itu, katanya, pemeriksaan juga diadakan di 75 depoh dan 28 terminal bas utama bertujuan memastikan kenderaan terbabit layak berada di jalan raya.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dikuatkuasakan dua hari sebelum dan dua hari selepas musim perayaan iaitu pada 30 dan 31 Januari serta 3 dan 4 Februari.
Katanya, larangan itu bertujuan mengelak berlaku sebarang risiko nahas di jalan raya akibat percampuran trafik di atas jalan raya dan lebuh raya membabitkan kenderaan berat dengan ringan, selain mengelak kesesakan lalu lintas. -UTUSAN ONLINE