PETALING JAYA: Ditendang dan digigit kuda sudah menjadi lumrah bagi tukang ‘kasut’ haiwan yang seringkali digunakan untuk perlumbaan atau pertunjukan.
Namun, bagi Mohd. Dzuki Mohd. Ismail, 58, risiko berkenaan disifatkannya sebagai alah bisa tegal biasa dan menjadi lumrah sejak mula menceburi bidang itu pada 1991.
Dia yang gembira dengan pekerjaannya itu berkata, gaji lumayan menanti mereka yang sanggup terjun ke dalam bidang yang semakin kurang mendapat sambutan dalam generasi muda.
“Kerjaya tukang ladam ini memang berisiko. Saya sendiri sudah beberapa kali ditendang kuda dan ada rakan yang meninggal dunia selepas cedera parah apabila terkena tendangan haiwan ini.
“Jika kita sabar dan rajin, kerjaya sebagai tukang ladam menawarkan pendapatan lumayan dan banyak pengalaman. Kita juga dapat banyak pengetahuan dan ilmu lebih-lebih lagi berkenaan perangai haiwan ini yang mempunyai pelbagai karakter.Tidak keterlaluan boleh dikatakan tukang ladam sebagai sebahagian veterinar, ” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Seekor kuda dikenakan bayaran sebanyak RM200 untuk keempat-empat ladam dan penukaran bagi dilakukan setiap bulan atau lima minggu bergantung kepada keadaan.
Tambah Mohd. Dzuki, pendapatannya mampu mencecah sehingga RM10,000 sebulan bergantung kepada permintaan dan keupayaan untuk bekerja dalam tempoh tersebut.
Sebagai rekod, dia telah menukar ladam lebih 100,000 ekor kuda sepanjang kerjayanya dengan membabitkan pelbagai baka seperti Thoroughbred, Arab, Anglo Arab dan Warmblood.
Dalam pada itu, Mohd. Dzuki berkata, dia yang bekerja secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak berpeluang berkhidmat kepada pembesar termasuk Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selain atlet equestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil
“Saya juga pernah dijemput ke luar negara bagi membantu menukar ladam kuda-kuda yang menyertai kejohanan endurance. Tetapi terpaksa menolak ketika itu kerana hal kecemasan.
“Di samping itu, saya seringkali dijemput untuk kejohanan endurance tempatan di Lembah Bidong, Terengganu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE