BENTONG: Penduduk Kampung Baru Perdak di sini sebak apabila mengenangkan kejadian bah luar jangka yang melanda kampung itu pertengahan Disember tahun lalu sehingga menyebabkan kediaman mereka rosak teruk dan hilang dibawa arus deras.
Penduduk di situ menggambarkan kejadian banjir tersebut ibarat dilanda tsunami kerana selama lebih 50 tahun, ia kejadian terburuk dalam sejarah kampung berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung, Thu Yin Li, 50, berkata, 80 daripada 100 penduduk di situ telah berpindah keluar buat sementara waktu selepas pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Telemong ditutup secara rasmi kelmarin.
“Mereka tinggal menumpang di rumah ahli keluarga dan saudara mara selain ada antara penduduk yang menyewa rumah untuk menetap sementara waktu. Ini kerana kediaman mereka rosak teruk dan masih tidak boleh diduduki,” katanya di sini semalam.
Seorang penduduk, Lai Chui Fen, 72, berkata, sejak menetap dari tahun 1968, kawasan rumahnya sering dinaiki air, namun ini kali pertama dia mengalami banjir beserta lumpur dan puing kayu sehingga memusnahkan kediaman.
“Kalau dulu, apabila hujan lebat dan rumah dinaiki air, kami masih merasa selamat kerana kami sudah biasa dengan air yang naik pada paras bawah lutut,” katanya.
Mengimbau kejadian 18 Disember lalu, dia yang berada di rumahnya anaknya di Kuala Lumpur bergegas pulang ke kampung itu setelah melihat video dihantar penduduk tentang keadaan banjir di situ.
Adik ipar Chui Fen, Chan Mee Lim, 56, pula kehilangan rumah pusaka bapa mertuanya yang didiami selama lebih 30 tahun akibat banjir besar terbabit.
“Saya sangat sedih kerana itu kediaman pusaka ayah mertua dan telah menetap di situ sejak berkahwin dengan suami. Segala kenangan kami di dalam rumah itu musnah dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di kampung itu mendapati masih terdapat longgokan puing kayu diletakkan setempat di tepi jalan kampung, justeru penduduk berharap agar longgokan puing kayu itu dapat dibersihkan oleh pihak berwajib. -UTUSAN ONLINE