KUALA TERENGGANU: Tiada kes pelajar berhenti sekolah kerana faktor kemiskinan dikesan di negeri ini sepanjang pandemik Covid-19 melanda.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sehingga kini, pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada golongan sasar termasuk peranti di samping sumbangan kewangan bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, sekiranya ada kes ketidakhadiran ke sekolah, isu itu bukan disebabkan faktor kemiskinan, sebaliknya kerana kebimbangan ibu bapa terhadap jangkitan Covid-19 kepada anak-anak mereka.
“Bagi kita, tiada isu berbangkit dalam soal ini kerana prestasi anak-anak Terengganu dalam peperiksaan kekal terbaik dan berdasarkan pemantauan yang dilakukan selama dua tahun ini, kita tidak menemukan sebarang masalah.
“Kemungkinan pelajar tidak hadir sebab ibu bapa tidak mahu menghantar anak ke sekolah susulan keadaan Covid-19 yang belum pulih,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu di sini hari ini.
Satiful Bahri berkata, tiada tindakan diambil sekiranya pelajar tidak hadir dengan kebenaran ibu bapa.
Baru-baru ini, media melaporkan seramai 21,316 murid di seluruh negera berhenti sekolah sejak Mac 2020.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan disarankan untuk segera melakukan Pelan Pemulihan Pendidikan bagi menangani isu keciciran pendidikan dengan kadar segera. -UTUSAN ONLINE