KUALA LUMPUR: Proses merakam keterangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh malam tadi berlangsung selama dua jam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, bagi memberi keterangan berhubung demonstrasi di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin berkait isu Jalur Gemilang.
Muhamad Akmal berkata, beliau mengambil tanggungjawab dan memberikan kerjasama dalam proses itu serta tidak takut kerana tindakannya adalah untuk memartabatkan kehormatan negara.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan kehormatan negara tetapi disiasat di bawah Akta Hasutan, saya tidak akan berganjak dan saya beri kerjasama dengan baik.
“Saya harap rakyat boleh sedar bahawa orang yang buat kesalahan dianggap hero, tapi bila kita mahu memperbetulkan keadaan dianggap sebagai salah,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Muhamad Akmal tiba di IPD Dang Wangi pada pukul 11 malam, semalam dan lebih 50 penyokongnya turut hadir memberi sokongan.
Kelmarin, Muhamad Akmal mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, Bersatu dan Pas dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.
DAP mengarahkan sayap pemudanya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan itu.
Peguam Aizat Azam berkata, Muhamad Akmal memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses rakaman percakapan dalam membantu polis melengkapkan kertas siasatan.
Katanya, rakaman keterangan itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, susulan dua laporan polis berkenaan Himpunan Solidariti Jalur Gemilang.
Katanya, semua proses dilakukan dengan profesional, beretika dan sangat baik.
“Soalan semua dijawab, lebih kurang 80 soalan (ditanya). (Muhamad Akmal) tidak akan lari dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa juga perkara.
“Dia juga sentiasa memberikan kerjasama untuk pastikan sebarang proses undang-undang seperti mana termaktub dalam negara ini akan sentiasa dipatuhi,” katanya. – UTUSAN








